Template by:
Free Blog Templates

28 May 2009

Pelabur Asing Masih Minat ke Perak


Khamis, 28 Mei 2009 adalah tarikh berakhirnya mogok lapar selama tiga hari pembangkang di Perak.

Persoalannya di sini ialah apakah mogok yang dilancarkan Selasa lalu merupakan drama terakhir mereka! Kalau ia alhamdullilah dan memang itulah yang selalu kita berdoa. Tetapi saya fikir "tidak", barangkali ada lagi aktiviti lain yang akan diteruskan bagi menimbulkan huru hara hingga Dewan Negeri (DUN) dibubar dan diadakan pilihanraya baru.

Apapun, rakyat hari ini dapat melihat dengan kepala dan mata mereka sendiri gelagat pembangkang yang tidak mahu menerima realiti, setelah kehilangan kuasa sebagai kerajaan untuk mentadbir Negeri Perak.

Saya rasa cukuplah, kenapa tidak kita berpakat menumpukan kepada meningkatkan ekonomi Negeri Perak. Jika pun mahukan pilihanraya, tunggu sahajalah bila tempuh sekarang berakhir kelak. BN pernah mengajak sebuah parti pembangkang berpakat, tetapi mereka menolak.

Jadi bila BN berpeluang memerintah, sokong sahaja lah, kenapa hendak timbulkan masalah. Masa mereka diberi peluang menjadi Kerajaan Negeri Perak selepas Pilihanraya Umum (PU) ke-12, BN tidak pun menganggu mereka. Tetapi bila BN menjadi majoriti, mereka yang menjadi minoriti kenalah terima dengan rasa penuh hormat.

Saya merasa simpati dengan seorang usahawan tempatan yang ghairah hendak membantu membawa masuk pelabur asing ke Negeri Perak, tetapi merasa sedih dengan kemelut politik yang sedang melanda negeri ini.

Katanya, pelabur bimbang jika keadaan tidak stabil. Ekoran lawatan bekas Menteri Besar Perak, Datuk Seri Mohd Tajol Rosli bin Tan Sri Ghazali ke sebuah negara, beliau telah berjaya mengikat pelabur untuk datang ke Negeri Perak dalam bidang ICT.

Bila Kerajaan BN jatuh ke tangan pembangkang selepas PU ke-12, beliau masih tidak berputus asa. Sekarang, beliau sekali lagi berharap usahanya itu menuju kejayaan selepas BN berkuasa semula, tetapi beliau masih bimbang jika keadaan tidak menentu.

Namun, saya menasihati beliau agar segera berjumpa dengan Menteri Besar, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir bagi menyampaikan hasrat beliau itu. Saya sendiri bersedia membantu jika beliau temui jalan buntu. Tetapi, saya percaya Dr Zambry bersedia mendengar cadangan beliau itu jika ia membawa faedah kepada Negeri Perak.

Tiada kerajaan yang akan menolak sebarang pelaburan jika ia mendatangkan sumber hasil. Tetapi katanya, pernah berlaku kerana terlalu lama menunggu, Negeri Perak terlepas peluang mendapat satu projek besar.

Saya bersetuju dengan beliau, jika kemelut politik sekarang berterusan dan pelabur tidak datang, yang akan rugi nanti ialah rakyat Perak itu sendiri kerana jumlah pembangunan yang hendak dilaksanakan bergantung kepada keupayaan kewangan Kerajaan Negeri. Di kawasan saya sendiri, DUN Kubu Gajah pun masih banyak lagi projek yang perlu dilaksanakan.

Dalam keadaan sekarang, Kerajaan Negeri sebenarnya tidak lagi boleh bergantung 100 peratus kepada Kerajaan Pusat. Justeru Kerajaan Negeri perlu berikhtiar mencari sumber pelaburan bagi memperkukuhkan kedudukan kewangannya.

Negeri Perak pernah berbangga suatu ketika dengan hasil bijih timah, sehinggalah ke tahun 1982 apabila pasarannya di peringkat antarabangsa semakin terjejas dan menyebabkan bekas Menteri Besar ketika itu, Tan Sri Ramli Ngah Talib terpaksa berhempas pulas menarik seberapa banyak pelabur asing ke Negeri Perak.

0 comments: