Template by:
Free Blog Templates

24 March 2008

Tahniah Dr. Junaidy


Saya ingin merakamkan ucapan tahniah kepada sahabat saya, Dr. Junaidy Abd Wahab di atas perlantikan beliau sebagai Setiausaha Politik kepada Menteri Penerangan, Datuk Ahmad Shabery Chik. Berdasarkan pengalaman beliau sepanjang menjadi Ahli Parlimen Batu Pahat, saya yakin beliau dapat membantu Shabery dalam melaksanakan tanggungjawab yang diamanahkan.

23 March 2008

Terima kasih JKKK Bukit Bertam


Saya ingin merakamkan terima kasih dan penghargaan kepada JKKK Kampung Bukit Bertam kerana telah menganjurkan majlis kesyukuran atas kejayaan BN pada pilihan raya umum yang lalu.

Saya bersama dengan Ahli Parlimen Larut, Datuk Hamzah Zainuddin dan ADUN Selama, Datuk Mohd Daud Mohd Yusof telah hadir pada majlis yang diadakan di Sekolah Agama Rakyat Bukit Bertam hari Ahad.

Sesungguhnya komitmen yang ditunjukkan oleh mereka memberikan kekuatan kepada kami wakil-wakil rakyat BN untuk terus bekerja membela nasib rakyat.

Kepada seluruh jentera pilihan raya Kampung Bukit Bertam terima kasih diucapkan atas sumbangan dan kerja kuat bagi memastikan kemenangan BN di Parlimen Larut dan tiga DUN.

Usaha dan kerja kuat saudara sekalian akan kami balas dengan khidmat yang berterusan bagi memastikan rakyat di Larut mendapat pembelaaan dan nikmat pembangunan yang sewajarnya.

Prihatin nasib mangsa banjir kilat di FELDA Ijok

Sebanyak 66 buah rumah di FELDA Ijok Peringkat 3 dan 6 dilanda musibah banjir kilat hari Sabtu. Saya bersama Ahli Parlimen Larut, Datuk Hamzah Zainuddin telah melakukan lawatan menemui mangsa banjir.





Saya telah menghulurkan bantuan kepada mereka bagi meringankan beban yang mereka alami.

Saya telah meminta Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) untuk melakukan kerja-kerja pendalaman dan tambakan Sungai Ijok yang berdekatan bagi memastikan air sungai tidak melimpah sekiranya berlaku hujan lebat.

Kepada para penduduk yang terlibat saya berharap mereka bersabar dan usaha-usaha untuk memastikan banjir kilat ini dapat diatasi pada masa hadapan sedang diusahakan dengan bantuan JPS.

22 March 2008

Terima kasih UMNO Cawangan Jelai

Saya ingin merakamkan terima kasih dan tahniah kepada UMNO Cawangan Jelai yang mengambil inisiatif mengadakan kenduri kesyukuran atas kejayaan calon-calon BN bagi Parlimen Larut, DUN Kubu Gajah, Selama dan Batu Kurau.

Saya yang hadir pada majlis kenduri kesyukuran merasakan amat terharu kerana sokongan berterusan Cawangan Jelai kepada perjuangan parti.

Semangat yang ditunjukkan oleh ahli-ahli Cawangan Jelai meyakinkan saya bahawa perjuangan parti ini akan berterusan.
Terima kasih kepada Ketua Cawangan, Mohd Ali Awang Besar dan anak buahnya yang menumbangkan seekor kerbau bagi mengadakan kenduri kesyukuran ini.

21 March 2008

Selamat Pengantin Baru Nor Naemah

Tahniah diucapkan kepada salah seorang Ahli Jawatankuasa UMNO Bahagian Larut, Nor Naemah Abdul Aziz kerana telah selamat diijab kabulkan pada petang Jumaat dengan pasangannya Jaafar Haji Jantan di Masjid Selama.

Saya mendoakan agar pasangan ini kekal bahagia hingga ke anak cucu.

20 March 2008

Selamat menyambut Maulidur Rasul


Selamat menyambut Maulidur Rasul Tahun 1429H. Semoga dengan memperingati keputeraan Baginda s.a.w. kita akan sama-sama mencontohi keperibadian dan perjuangan Rasulullah s.a.w. dalam membangunkan ummah. Bersama kita berazam menjadi umat Muhammad s.a.w. yang terbaik.

19 March 2008

Tahniah kabinet baru...kembalikan keyakinan rakyat


Tahniah diucapkan kepada Perdana menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi yang telah membentuk barisan kabinet yang baru. Kabinet baru ini diyakini mampu mewakili rakyat dengan efektif serta membawa pembaharuan kepada pentadbiran negara.

Dalam pembentukan kabinet ini Perdana Menteri telah melantik 16 menteri baru dan menggugurkan lapan menteri penggal lalu.

Saya mendoakan mereka yang dilantik akan dapat membantu Perdana Menteri mengembalikan keyakinan rakyat kepada kerajaan dan rakyat serta negara terus menikmati kemakmuran dan pembangunan yang berterusan.

Tahniah juga khusus saya ucapkan kepada Ahli Parlimen Larut, Datuk Hamzah Zainuddin kerana dilantik Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan. Sesungguhnya perlantikan ini merupakan pengiktirafan kepada masyarakat di Larut yang setia menyokong Barisan Nasional.

Tahniah MB baru...utamakan amanah rakyat


Saya ingin merakamkan ucapan tahniah kepada Menteri Besar Perak yang baru, Ir. Mohammad Nizar Jamaluddin,51 yang juga ADUN Pasir Panjang yang telah selamat angkat sumpah sebagai Menteri Besar Perak di hadapan Pemangku Raja Dr Nazrin Shah di Istana Iskandariah,Kuala Kangsar jam 11.40 pagi Isnin (17/3/2008). Semoga perlantikan tersebut akan diiringi dengan tanggungjawab untuk membela nasib rakyat khususnya umat Melayu di negeri ini. Saya juga kagum dengan semangat yang ditunjukkan oleh bekas Menteri Besar Datuk Seri Diraja Mohd Tajol Rosli Ghazali yang hadir sebagai menghormati perlantikan tersebut. Sebagai wakil rakyat Barisan Nasional (BN) saya akan tetap memainkan peranan sebaik mungkin untuk membela nasib para pengundi khususnya di Kubu Gajah dan akan aktif membangkitkan permasalahan rakyat di Dewan Undangan Negeri Perak.

15 March 2008

Sembah tahniah buat Pemangku Raja Perak


Saya ingin merafakkan sembah tahniah ke bawah Duli Pemangku Raja Perak, Raja Dr. Nazrin Shah dan Raja Puan Besar, Tuanku Zara Salim yang dikurniakan seorang putera hari Jumaat, 14 Mac 2008.

Bagi pihak masyarakat di DUN Kubu Gajah khasnya dan Larut amnya, kami semua memanjatkan rasa syukur ke hadrat Allah s.w.t. di atas kurniaan tersebut. Kami mendoakan kebahgiaan Ke Bawah Duli Tuanku dengan kehadiran putera sulung itu.

Putera diraja itu dilahirkan pada pukul 10 pagi di Hospital Pakar Damansara, Kuala Lumpur. Raja Dr. Nazrin Shah, 51, melangsungkan perkahwinan dengan Tuanku Zara, 35, pada 17 Mei 2007 di Istana Iskandariah, Bukit Chandan di Kuala Kangsar dan diikuti majlis pertabalan Tuanku Zara sebagai Raja Puan Besar Perak sehari kemudian di istana yang sama. Tuanku Zara ialah cicit kepada Sultan Kedah ke-24, Sultan Abdul Hamid Halim Shah manakala datuknya, Syed Omar ialah Menteri Besar Kedah yang ketiga.

11 March 2008

Terima kasih atas mandat yang diberikan kepada BN

Syukur Alhamdulillah, pilihan raya umum ke-12 telah selamat diadakan. Saya ingin merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih khususnya kepaa paa pengundi DUN Kubu Gajah di atas mandat yang diberikan kepada saya. InsyaAllah saya akan melaksanakan amanah yang diberikan bagi meneruskan tradisi BN dalam membela rakyat. Selaku Ketua UMNO Bahagian saya juga ingin merakamkan tahniah kepada calon-calon BN bagi Parlimen Larut, DUN Batu Kurau dan Selamadi tas kejayaan masing-masing. Kepada jentera pilihan raya BN, tahniah dan terima kasih juga diucapkan kerana sumbangan yang diberikan telah memungkinkan kejayaan ini dicapai.

5 March 2008

Lawatan MB ke DUN Kubu Gajah Disambut Meriah


YAB Menteri Besar Perak, Dato' Seri Diraja Mohd Tajol Rosli melakukan lawatan kerja di DUN Kubu Gajah hari Rabu, 5 Mac 2008.

Hampir 1,000 orang masyarakat menyambut ketibaan YAB Menteri Besar dalam Majlis Mesra Pemimpin bersama Peserta FELCRA kawasan Parlimen Larut.



Pada majlis itu, YAB Menteri Besar telah menyampaikan geran hak milik tanah kepada 25 peserta FELCRA. Di samping itu beliau turut menyampaikan bantuan rumah kepada empat orang penerima sumbangan baitulmal dan 20 buah basikal untuk anak-anak sekolah.

Sebagai calon bagi DUN Kubu Gajah saya amat berterima kasih di atas kunjungan YAB Menteri Besar ke kawasan ini dan ia menyuntik semangat kepada seluruh jentera Barisan Nasional untuk bekerja lebih keras bagi mengekalkan penguasaan BN di DUN Kubu Gajah, DUN Batu Kurau, DUN Selama serta Parlimen Larut.

Kemesraan yang ditunjukkan oleh YAB Menteri Besar membuktikan kesungguhan beliau untuk membantu rakyat.

Terima kasih Dato' Seri semoga negeri Perak terus gemilang di bawah kepimpinan Dato' Seri.

4 March 2008

Potensi agrotourism di Kubu Gajah


Kawasan kubu Gajah yang mempunyai pelbagai sumber pertanian berpotensi untuk dibangunkan sebagai sebuah kawaan pelancongan berasaskan pertanian atau agrotourism.

Dengan pembukaan Pusat Pembiakan Kambing Boer Nasional di Pondok Tanjung, sudah tentu kawasan ini akan berubah wajah.

Malah, projek kerajaan Barisan Nasional itu akan dapat membantu negara mengurangkan pergantungan kepada import daging bagi keperluan dalam negara.

Projek ini akan dapat membantu usaha membasmi kemiskinan dan pada masa yang sama mereka yang terlibat dengan program itu boleh meningkatkan kemahiran menternak secara lebih sistematik dan mempunyai nilai komersil.

Melalui projek ternakan kambing boer itu, kawasan kita akan keluar sebagai antara pusat latihan dan penyembelihan halal bagi kawasan utara semenanjung.
Kita semua harus bersyukur kerana tempat kita dipilih untuk menjadi lokasi pembiakan kambing boer ini dan limpahan projek ini sudah tentu akan memberikan pulangan kepada kita.

Laporan Agendadaily Menyentuh Hati


Sebuah laman web berita yang popular agendadaily.com menyiarkan berita mengenai saya. Laman web berita itu yang menyiarkan gambar-gambar semasa saya melakukan kunjungan dan dan lawatan ke beberapa tempat di dalam kawasan DUN Kubu Gajah.

Dalam berita itu yang ditulis ia melaporkan cara saya yang bersahaja apabila menemui para pengundi. Lebih menarik apabila penulis laman web itu menyatakan rasa kagum beliau kerana saya mampu mengingat nama para pengundi yang ditemui dan boleh bertanya mengenai penduduk kawasan Kubu Gajah yang sudah lama tidak ditemui atau sudah berpindah.

Laporan seterusnya boleh dibaca di agendadaily.com.