Saya harap Menteri Besar Perak, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir jangan melayan kerenah pembangkang, sebaliknya memberi tumpuan kepada agenda Barisan Nasional (BN) yang lebih utama dan penting sebagai mana yang telah diatur untuk memajukan negeri.
Kita ada agenda kita sendiri dan sudah terbuang banyak waktu lebih setahun berpolitik semenjak pilihanraya umum (PU)bulan Mac 2008 dan kini Barisan Nasional (BN) tidak punya banyak masa untuk memperbetulkan keadaan sebelum PU ke 13.
BN mempunyai agenda sendiri yang perlu dilaksanakan, biarlah pembangkang dengan kerenahnya. Mereka pun ada juga masalah dalaman, sebab itu tidak hairan jika mereka asyik hendak menutup kain sendiri yang koyak.
Seharusnya, bila BN tidak bertanding di Penanti, mereka akan merasa lega kerana tiada tentangan, kecuali dari calon-calon Bebas. Kuat ke Bebas ini?
Hairan juga bila BN tidak bertanding, kata mereka BN pengecut. BN, juga kata mereka masih menjadi musuh mereka dalam di Penanti?
Tidak hairanlah Jika isu Menteri Besar Perak di jaja di Penanti, padahal Dr Zambry dah sah dan kekal Menteri Besar oleh Mahkaman Rayuan, Jumaat lalu dan BN kini mempunyai suara majoriti di DUN Perak, justeru apa lagi yang hendak di kelirukan kepada rakyat. Saya rasa rakyat pun dah naik jemu dengan kerenah mereka.
Kita tunggu keputusan di DUN Penanti, jika PKR berjaya mempertahankan kerusi tersebut bermakna, mereka masih releven di situ, tetapi jika berlaku sebaliknya, tidak hairanlah jika mereka akan menuding jari sekali lagi.
Bila BN tidak bertanding di Penanti, perhatian umum barangkali tidak lah serancak yang dijangkakan, umpama bila Peninju lagenda, Muhammad Ali tidak berada di tengah gelanggang, perlawanan tidak lagi menjadi tarikan.
Saya harap Dr Zambry teruskan tanggung jawabnya dan agenda yang telah dirancangkan, kami Ahli Dewan Negeri (ADUN) BN sentiasa berada di belakang bagi membantu beliau memikul amanah parti dan rakyat. Berilah beliau peluang mendamping dengan rakyat dan mendengar segala masalah mereka, tidak kira bangsa, agama dan keturunan.
Disamping itu, kita perlu banyak lagi pelaburan bagi meneruskan kegiatan pembangunan. Tanyalah siapa juga, mereka akan bersetuju, kerana rakyat Perak dahagakan kemajuan dan masalah kemiskinan yang perlu diberikan tumpuan dan perhatian. Justeru kemelut politik yang tidak menguntungkan ini wajarlah diberhentikan.
Saya percaya Dr Zambry, seorang pemimpin yang bukan mudah mengaku kalah dalam perjuangan kerana darah perjuangan sudah menjadi sebati dalam tubuhnya.
26 May 2009
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
0 comments:
Post a Comment