Template by:
Free Blog Templates

2 July 2011

Pelancaran 1 Sukan






















Lebih 4 juta pelajar daripada 2,271 buah sekolah menengah dan 7,709 sekolah rendah seluruh negara menyertai larian serentak Satu Murid Satu Sukan Satu Malaysia peringkat kebangsaan hari ini sekali gus mencipta rekod Malaysia Book of Records (MBR) bagi kategori larian terbesar.

Larian sempena majlis pelancaran Dasar Satu Murid Satu Sukan itu dirasmikan Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin yang juga Menteri Pelajaran di Padang Dataran Perbandaran Taiping di sini pagi ini.

Selain penyertaan pelajar, guru dan ibu bapa, larian berkenaan turut berlangsung serentak di 28 buah Institut Pendidikan Guru Malaysia (IPGM) dan 15 buah Kolej Matrikulasi seluruh negara.

Pada majlis pelancaran di sini, Timbalan Perdana Menteri melepaskan 16,000 peserta daripada 13 buah sekolah menengah dan 18 buah sekolah rendah dari sekitar Taiping.

Larian tersebut bermula pada pukul 7.45 pagi dan para peserta seluruh negara berlari sejauh 1.5 kilometer manakala peserta di
Taiping berlari pada jarak 1.85 kilometer di sekitar Taman Tasik Taiping.

Penyertaan 4.1 juta peserta itu dicatat dalam Malaysia Book of Records (MBR) bagi kategori larian terbesar dan diisytiharkan sebagai rekod baru oleh MBR.

Larian terbesar yang direkodkan MBR sebelum ini ialah larian anjuran Kementerian Belia dan Sukan pada tahun 2000 dengan penyertaan 2.3 juta peserta.

Menteri Besar Perak Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir adalah diantara tetamu yang turut menyertai larian itu selain, Setiausaha Kerajaan Negeri Perak Datuk Seri Dr Abdul Rahman Hashim dan Ketua Pengarah Pelajaran Datuk Abdul Ghafar Mahmud.

Sementara itu, pelbagai acara lain turut diadakan sempena majlis itu, antaranya senamrobik, pertandingan sepak raga, futsal, bola jaring, tenis, bola tampar serta acara wall climbing.

Larian berkenaan bertujuan memupuk budaya sukan dalam kalangan murid sekolah serta mempertingkatkan kesedaran masyarakat terhadap pentingnya penyertaan murid dalam aktiviti sukan.

Timbalan Perdana Menteri juga mempunyai acara yang padat sempena lawatan ke Perak termasukprogram beramah mesra dengan Masyarakat cina di Pokok Assam dalam Parlimen Taiping, selain menemui Peniaga dan Penjaja di Pasar Awam di Taman Kaya dalam Parlimen Bukit Gantang.

Selepas berucap di perhimpunan rakyat di padang Taman Kaya dan menyampaikan geran tanah, beliau yang diiringgi oleh Dr Zambry menaiki Bas Khas bersama Ketua-Ketua UMNO Bahagian berlepas ke Alor Pongsu dalam Parlimen Bagan Serai.

Timbalan Perdana Menteri menghadiri kenduri bersama rakyat pelbagai kaum di Dataran Alor Pongsu, selain perjumpaan bersama Pesawah sebelum berlepas ke Ipoh untuk menemui masyarakat kaum Sikh.

Beliau berlepas pulang ke Kuala Lumpur lewat petang tadi.

0 comments: