Kali terakhir saya berpeluang menyaksi kejohanan Piala Eropah ialah ketika Belanda menjadi tuan rumah pada tahun 2000 di mana pasukan Perancis muncul juara.
Saya juga berkesempatan menimba pengalaman bersama para penyokong fanatik pasukan Itali yang turut berkeretapi ke stadium perlawanan sepatuh akhir di Brussel, Belgium, satu lagi gelanggang Piala Eropah.
Kini Piala Eropah muncul semula. Kalau Piala Dunia dianggap medan pasukan pilihan dan bintang menonjolkan diri dan mencapai kemenangan seperti yang sering diperkatakan oleh pemerhati dan pengulas sukan, Namun Piala Eropah tidak sedemikian kerana apa sahaja boleh berlaku.
Contohnya Greece mengejutkan 15 pasukan lain yang bertanding malah mengalahkan Portugal yang mempunyai ramai bintang sebanyak dua kali iaitu dalam perlawanan kumpulan dan akhir empat tahun lalu.
Malah, Denmark yang sebelumnya tidak layak tetapi dipanggil bagi menggantikan Yugoslavia pada kejohanan 1992, yang kemudian muncul juara.
Begitu juga pasukan seperti Russia dan Sepanyol hanya mencapai kemenangan pada kejohanan Eropah dan tidak pada Piala Dunia. Czechoslovakia (kini Republik Czech) menang pada 1976 dengan mengalahkan Jerman Barat melalui sepakan penalti.
Biarpun kini ramai meletakkan juara dunia Itali, Jerman, Perancis, Portugal dan Sepanyol yang akan bermain dalam perlawanan akhir kejohanan Eropah 29 Jun depan, siapa boleh menolak kemungkinan bahawa Russia, Romania, Turki atau Greece sekali lagi akan menyinar?
Saya menonton beberapa perlawanan pemanas badan beberapa pasukan yang akan menyertai pusingan akhir Piala Eropah dan diantara yang menarik perhatian saya ialah perlawanan persahabatan melibatkan Russia dan Serbia.
Bukan keputusan kemenangan Russia 2-1 ke atas Serbia yang menjadi tumpuan saya, tetapi kemudahan stadium bandar Burghausen, Jerman yang digunakan untuk perlawanan sebesar itu, jauh lebih kecil berbading stadium Alor Setar atau Stadium Sultan Mohamad Ke- IV di Kota Bharu.
Bayangkan bagaimana di Eropah, bukan keindahan atau besarnya stadium yang menjadi perkara penting diutamakan, tetapi pencapaian atau kualiti yang menjadi ukuran.
Justeru, bagi saya apabila Menteri Belia dan Sukan, Datuk Ismail Sabri Yaakob mahu semua negeri menggunakan sepenuhnya kemudahan sukan yang dibina kerajaan dengan peruntukan berjuta ringgit dengan mengadakan aktiviti berkaitan sukan sepanjang tahun, adalah pandangan yang perlu diberikan perhatian mendalam.
Memang benar kata beliau bahawa apa akan jadi dengan kemudahan sukan berjuta ringgit yang dibina selepas berakhirnya sesuatu kejohanan, sambil merujuk kepada Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin yang menelan belanja RM 198 juta di Kuala Terengganu yang digunakan untuk Sukan Malaysia, berakhir hari ini.
Hakikatnya ada beberapa contoh kemudahan sukan yang ada di seluruh negara selepas penganjuran SUKMA, sama ada tidak digunakan sepenuhnya atau menjadi gajah putih. Tidakkah ini pembaziran? Selain, pengurusan stadium perlu bijak menentukan apa yang harus dilakukan, adalah dirasakan perlu pertubuhan sukan, termasuk juga jabatan belia dan sukan negeri merancang mengadakan aktiviti berkaitan sukan di kompleks sukan masing-masing atau kemudahan sukan lain.
Malah, pengurusan stadium perlu mempunyai pasukan jualan bagi menjamin ada aktiviti bagi menampung kos pengurusan untuk penjagaan dan menjamin kemudahan terus terjaga.
Ada benarnya cadangan Menteri Belia dan Sukan bahawa pegawai jabatan belia dan sukan negeri hendaklah kreatif, merangka pelbagai aktiviti sukan bagi menghidupkan semula budaya sukan dan penyertaan ramai.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
6 comments:
Salam Datuk.
Ini adalah suatu persoalan baik yang dibangkitkan Datuk.
APA AKAN JADI DENGAN INFRA YANG BERNILAI JUTAAN RINGGIT INI SEKIRANYA PENGGUNAANNYA HANYALAH SEKADAR PEMANAS BADAN SAHAJA?
Mungkin dimasa akan datang, bagi mengelakkan pembaziran dari segi kos pembinaan dan pengurusan infra2 tersebut, perancangan masa panjang bagi kegunaan infra2 yang bakal didirikan harus dibincang dan di ambil kira terlebih dahulu.
Salam kepada YBM dan Wak Masnoor..
Tertarik dengan komentar YBM tentang pengalamannya menyaksikan perlawanan di Eropah dan membandingkan dengan bolasepak negara. Sayangnya, semasa YBM menjadi Pengerusi JK Pertandingan FAM, mutu bolasepak negara tidak juga meningkat. Saya masih teringat akan pertemuan saya dengan YBM di Hotel Perdana Kota Bharu di mana saya sempat menyuarakan pandangan saya tentang format pertandingan bolasepak negara, tetapi respons yang diperolehi ialah pertandingan bolasepak negara dilaksanakan mengikut tradisi. Kalaulah tradisi yang diamalkan membawa kepada peningkatan dan kebaikan, saya akur, malangnya, tradisi yang diamalkan membawa kepada kehancuran dan kemusnahan bolasepak negara.
Berhubung dengan projek infrastruktur yang diujudkan sempena dengan penganjuran sukan besar seperti SUKMA, umum yang prihatin amat sedar, projek-projek yang dilaksanakan sekadar ingin membantu pihak-pihak tertentu untuk membina kekayaan. Kalau dilihat kembali akan pelbagai projek yang dilaksanakan, siapakah mereka disebalik syarikat-syarikat yang memperolehi kontrak melaksanakan projek tersebut kalau bukan di kalangan pemimpin parti pemerintah. Jadi untuk mempertikaikan berlakunya projek gajah kelabu (putih), tak perlu lah YBM atau saudara Wakmasnoor timbulkan. Sama-sama tepuk dada tanya diri...
kita dimsia bagaikan telah "diajar" bahawa kemajuan bermaksud segala yg berbentuk fizikal...
bangunan mesti tinggi, stadium mesti besar...roboh sana roboh sini...
biarlah pakai tak pakai, janji projek jalan...
akhirnya, generasi masa depan rasa akibatnya...
Terlalu banyak yang boleh diperkatakan tentang kebangkitan Belanda dalam Euro 2008. Sama ada anda sukakan pasukan itu atau tidak, kebangkitannya membuatkan kita terpaksa akur akan kehebatannya. Di mana-mana pun orang memperkatakannya sekarang. Orang ramai memboikot barangannya, tetapi bukan bola sepaknya.
Pasukan dari negara atas laut itu memang benar-benar menyerlahkan sifat semula jadi mereka. Mereka bukan sekadar mahukan betis, tetapi peha sekali. Siapa sangka Belanda yang diletakkan sebagai pasukan yang bukan diharap, tiba-tiba sahaja membenam juara dunia, Itali 3-0 dan menunjukkan kehebatan yang lebih menyerlah ketika membelasah Peranchis 4-1.
Kekuatan pasukan yang mempunyai banyak nama itu seperti Holland, Netherlands dan Belanda terletak pada hampir kesemua pemainnya. Ketika pasukan lain bergantung kepada seorang dua pemain utama mereka, Belanda tidak begitu.
Daripada pemain penyerang sehinggalah kepada penjaga golnya; dari pemain utama sehinggalah kepada pemain gantian, semuanya hampir sempurna, mempunyai skill peribadi yang mencukupi untuk menggegarkan lawan.
Mereka tidak perlukan ruang yang banyak untuk memecahkan benteng pertahanan lawan. Mereka mampu melakukannya sedangkan yang pasukan lain masih teragak-agak.
Mereka turun tanpa tekanan. Mereka sentiasa meletakkan diri dalam keadaan pasukan bukan pilihan, tetapi dalam diam-diam melakukan persiapan yang rapi.
Jurulatihnya,Marco van Basten tidaklah begitu menonjol berbanding dua lagi jurulatih, Roberto Donadonih dari Itali dan Luiz Felipe Scolari dari Portugal, namun hubungan mesranya dengan semua pemain adalah sumber motivasi utama untuk mencapai kemenangan sekalipun sebelum ini diramal melalui lalaun sukar kerana diundi dalam pasukan yang kuat (Itali dan Portugal).
Perkiraan Van Basten ternyata tepat. Beliau boleh bukan sekadar boleh membaca tetapi memeta di mana ruang dan peluang untuk mencuri gol. Sebagai bukti, apabila dia menukarkan pemain, ternyata pertukaran itu tidak sia-sia kerana selepas beberapa minit, pemain gantian itu akan turut merembat gol. Ini satu kelebihan yang saya kira jarang-jarang ada kepada seseorang jurulatih.
Beliau tidak menukarkan pemain hanya disebabkan kecederaan dan keletihan, tetapi kerana ingin memenangi perlawanan itu. Pemain gantian sudah diberi cukup taklimat tentang apa yang mereka perlu lakukan di atas padang. Dan pemain pula memang benar-benar setia dan melaksanakannya. Hasilnya memang menakjubkan.
Ketika pasukan lain tertumpu kepada apa yang bakal berlaku di padang, Belanda pula memulakannya dari luar padang lagi. Ternyata taktik itu berhasil. Syabas Belanda.
Hakcipta Abd Bashid Harun
Nampaknya selepas Brazil, saya harus memilih Belanda sebagai pasukan bola sepak pilihan.
Bersandarkan pencapaian Belanda dalam Euro 2008 di peringkat awal saya percaya selepas ini tiada sesiapa yang berani memandang mudah lagi dengan pasukan itu.
Dengan memungut 9 mata penuh daripada tiga perlawanan dan kemenangan ke atas dua pasukan gergasi, Itali dan Peranchis bukanlah sesuatu yang mudah kalau bukan di sebalik kejayaannya itu wujud suatu strategik dan taktik yang ampuh yang telah diatur sekian lama oleh pasukan itu.
Kemenangan Belanda ke atas Romania menjelaskan lagi kepada kita betapa mereka memang serius dan komited sebagai pasukan yang sentiasa bersedia mempamerkan semangat perjuangan jitu dalam arena bola sepak.
Jika pasukan lain mungkin memilih untuk kalah dalam perlawanan tersebut setelah sudah pasti masuk ke suku akhir, namun pilihan seperti itu bukan cara Belanda.
Belanda tidak akan terdorong membuat pilihan mudah dan popular seperti itu hanya semata-mata untuk mengelak daripada bertemu sekali lagi dengan pasukan kuat seperti Itali.
Percaturan seperti itu nampaknya tidak ada pada Belanda. Yang ada hanya satu, iaitu mempamerkan aksi di padang pada tahap terbaik walau siapa pun yang dihadapi dan dalam apa jua situasi.
Namun yang lebih mengujakan ialah sikap merendah diri yang ada pada jurulatih dan pemain-pemain Belanda yang sedikit pun tidak pernah memandang rendah kepada keupayaan lawan.
Sikap terpuji itu jika dicampur dengan pencapaian yang telah ditunjukkan membuatkan Belanda menjadi pasukan yang hampir sempurna. Ini ditambah dengan tuah memiliki semua pemain yang boleh diharap dan berpotensi memporak perandakan lawan dalam apa jua keadaan.
Pasukan yang mengalahkan Itali dan Peranchis bukanlah pasukan yang berbeza dengan pasukan yang mengalahkan Romania. Itu lebih menggambarkan betapa Belanda merupakan sebuah pasukan besar yang saling melengkapi dan bersedia berjuang apabila diserah tugas.
Setiap pemainnya mempunyai kelebihan dan kelebihan itulah yang sedang dipamerkan dalam Euro 2008.Mereka bukannya turun untuk memandang rendah lawan, tetapi mereka ingin berjuang sehabis baik untuk mencapai kemenangan.
Sikap terpuji, motivasi pada tahap optimum, skill bola sepak yang semakin ditingkatkan, mutu persembahan dan pencapaian semua entiti yang wujud dalam pasukan Belanda: daripada peringkat pengurusan, jurulatih hinggalah kepada semua pemain dan pemain simpanan adalah sinergi yang bakal mencorakkan warna baru kepada bola sepak dunia.
Saya percaya semua ramuan yang dimiliki Belanda ini akan digali, dipelajari dan dicontohi oleh mana-mana pasukan bola sepak yang inginkan peningkatan.
Hakcipta Abd Bashid Harun
sdra Abdul Bashid....ape nak kata lepas Belanda kalah kepada Russia? Team yang tak punya reputasi dan langsung tidak diberi peluang.
Untuk makluman sdra Bashid, pertandingan peringkat antarabangsa tak sama seperti liga. Team yang cemerlang di peringkat awal dengan jaringan gol bertali arus, selalunya kandas di peringkat kalah mati.
Pertandingan antarabangsa semuanya bergantung pada percaturan taktikal bukan sekadar penampilan dan corak permainan..jangan terlalu taksub sangat, apapun saudara punya hak dan rasional sendiri untuk memilih pasukan bolasepak kesayangan..wallahualam
Post a Comment